~SEIRINGAN JIHAD DAN DAKWAH... TEGAR MENGHARUNGI TITIAN FISABILILLAH~



Blog ini dibawah kendalian :
UNIT INFORMASI G3

Friday, December 17, 2010

FENOMENA DAKWAH


Memahami pelbagai fenomena dakwah Islamiyyah yang semakin berkembang pesat di seluruh dunia, pelbagai gerakan Islam mula muncul untuk membuat revolusi dalam menjayakan transformasi pembangunan ummah. Apa yang pasti, setiap dari gerakan Islam yang wujud dari dahulu hingga sekarang, objektif mereka adalah untuk menegakkan Islam demi mencapai keredhaan Allah.

            Ikhwanul Muslimin yang diasaskan oleh As-Syahid Imam Hassan Al-Banna menjadi pelopor utama kepada kemunculan gerakan Islam dalam usaha untuk membebaskan diri kaum Muslimin dari ancaman penjajahan fizikal, material, dan spiritual. Selepas itu, banyak gerakan Islam yang lahir akibat “tempias” perjuangan mereka itu. Semoga Allah merahmati mereka.
            Namun, kita sebagai pejuang Allah harus sedar dan teliti dalam meletakkan dasar-dasar perjuangan agar selari dengan tuntutan Al-Quran dan As-Sunnah. Ini adalah untuk mengelak dari tercetusnya fahaman-fahaman yang bertentangan dengan aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Ramai insan bergelora jiwanya dengan mengatakan untuk berjuang di Jalan Allah, tapi adakah mereka telah mengetahui, memahami dan menghayati ilmu-ilmu asas Islam. Perkara ini amat penting dan perlu dititikberatkan dari awal lagi kerana tanpa pegangan Islam yang sahih dan kukuh, kita mudah terjerumus ke dalam lorong perjuangan yang berpaksikan kebatilan.
            Demi Allah yang menurunkan Al-Quran dan demi Muhammad yang menjadi rahmat sekalian alam, jadilah seorang pejuang, pendakwah, dan mujahid di jalan Allah dengan aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Jangan biarkan visi dan misi kita semua untuk mewujudkan “Biah Solehah” di seluruh dunia terbantut akibat kesesatan iktiqod yang melanda kita. Tipu daya dari iblis dan syaitan boleh tiba dalam pelbagai bentuk dan cara. Apa yang menjadi kemestian ialah kita perlu berilmu dan bersama dengan para alim ‘ulama yang dijamin kesahihan aqidahnya agar laluan kita menuju Allah dengan berjihad dan berdakwah lebih selamat dengan peliharaan Allah.
           
Disediakan oleh;

MOHD AKRAM BIN MUHAMMAD
Pengerusi,
Unit Usrah & Tarbiyyah G3,
Generasi Penyelamat Ummah,
Kelantan Darul Naim,
Malaysia.