~SEIRINGAN JIHAD DAN DAKWAH... TEGAR MENGHARUNGI TITIAN FISABILILLAH~



Blog ini dibawah kendalian :
UNIT INFORMASI G3

Monday, November 22, 2010

Menjadikan Pekerjaan Sebagai Ibadah

oleh :  Dato’ Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria

Untuk mendapat keberkatan Allah SWT, setiap usaha yang dilakukan hendaklah bertujuan kerana Allah dan akhirat. Apabila mengajar, biarlah ilmu yang diajar itu boleh dijadikan bekalan ke akhirat. Apabila bekerja, biarlah masa bekerja itu mendapat faedah di akhirat. Begitu juga dengan sembahyang, berniaga, berkahwin dan sebagainya. Asalkan di situ tersirat keberkatannya.

Dalam mengharungi hidup, kita perlu berpegang dan menjadikan Islam sebagai panduan hidup kita. Bukan sahaja mencari kehidupan dan kemewahan di dunia sahaja tanpa mempedulikan hal ke arah keakhiratan. Jika diketepikan urusan akhirat khususnya dalam soal pengumpulan harta, maka perbuatan itu samalah seperti perbuatan orang kafir. Orang kafir tidak mementingkan soal akhirat. Mereka hanya mementingkan wang dan harta yang banyak, hidup senang-lenang dan sebagainya tanpa dipagari dengan soal keberkatan dan hokum syarak. Malah mereka tidak percaya bahawa sesuatu itu datangnya dari Allah SWT. Bagi mereka, siapa yang berusaha dia pasti akan berjaya tanpa batasan halal dan haram.

Tetapi sering kali kita terbaca mengenai jutawan yang membunuh diri. Apakah punca di sebalik mereka melakukan perkara sedemikian. Sedangkan mereka hidup dikelilingi kemewahan dan kekayaan. Apabila diteliti secara terperinci, puncanya ialah kerana ramai dalam kalangan jutawan yang tidak menghiraukan hukum yang ditetapkan oleh Allah SWT. Sebahagian dari mereka enggan berzakat, bersedekah dan mereka hanya mementingkan soal keduniaan. Perlakuan seperti ini menjadikan hidup mereka tiada keberkatan, hati mereka sentiasa resah dan gelisah walaupun dilimpahi dengan kemewahan dan permata-permata yang bertaburan. Maka hiduplah mereka dengan keangkuhan dan ketamakan tanpa menyedari Allah SWT sentiasa memerhati gerak laku hamba-hambaNya.

·        Dipetik dari buku (Indahnya ISLAM Mengatur Kita, karangan Haji Harussani Haji Zakaria)

MENCARI KESATUAN HATI UMMAT MUHAMMAD YANG SEJATI



Nukilan : Mohd Akram bin Muhammad

Kesedihan yang melanda qalbu ku...
Kerana melihat sengsara nya umat Muhammad...
Aku lemah dan tidak berdaya...
Untuk membela mereka yang dihina...
Aku tak kuat jika keseorangan...
Oh teman... ayuh bersamaku...

Jika kita bersatu...
Menentang musuh-musuh yang durjana...
Tiada gentar membela...
Agama yang tercinta...

Jangan kita bersengketa...
Wahai manusia yang percaya padaNya...
Tinggalkan fitnah dan segala tohmah...
Agar terbina...
Generasi Penyelamat Ummah...

Palestin ditindas...
Iraq dijadikan boneka...
Afghanistan hilang punca kuasa...
Namun kita masih segar bernyawa...
Ayuh bangkit berjuang...
Menjulang Islam...

Aduhai insan...
Tinggalkan harta dan nama...
Kerana ianya tiada berharga...
Juga ia hanya sementara...
Cukuplah sekadar memenuhi kehendak...
Yang tiada melebihi Tuhanmu...

Saturday, November 20, 2010

Majlis Hari Raya Aidil Adha 2010 anjuran GPU Pusat

          



Segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW berserta ahli keluarga Baginda dan para sahabatnya. Bertaqwalah kita semua kepada Allah dan eratkan hubungan silaturrahim antara saudara-saudara Islam yang lain agar Ukhuwwah Fillah yang diperjuangkan itu akan berseri abadan abada. Insha~Allah.

          Pada 20hb November 2010 (Sabtu) bersamaan 13hb Zulhijjah 1431 Hijriah, jam 3 petang, satu Majlis Hari Raya Aidil Adha anjuran GPU Pusat telah berjaya diadakan di kediaman Saudara Suhairi Ghazali di Kampung Morkel yang merupakan salah seorang dari ahli GPU : Generasi 1. Saudara Suhairi kini baru sahaja menamatkan Diploma di UiTM Arau, Perlis dan maafkan saya kerana lupa bertanyakan kosnya. (^_^)

          Program ini bertujuan untuk menghimpunkan kesemua generasi GPU, bermula dari Generasi 1 hingga Generasi 6. Alhamdulillah, dengan Rahmat Allah, akhirnya kesemua para generasi dapat bertemu di suasana Hari Raya Aidil Adha yang mulia walaupun kehadirannya adalah tidak 100% namun masih tetap dapat menceriakan suasana. Semoga mereka yang tidak hadir akan turut mendapat Rahmat dan Berkat dari Allah SWT.

          Akhir kalam, semoga perjuangan ahli-ahli Generasi Penyelamat Ummah di Malaysia kan terus berkembang dan mendapat Barokah dari Allah SWT dan bisa meraih Syafaat Rasulullah di akhirat kelak. Insha~Allah. Wahai sekalian ahli GPU, yaqinlah pada janji-janji Allah kerana sesungguhnya perjuangan mencari Redha Allah tidak akan menjadi sia-sia, apa yang penting, ikhlaskan jiwa dan ragamu kerana Allah SWT dan bersungguh-sungguhlah dalam mempertahankan Risalah Muhammad Rasulullah SAW. Wallahu’alam. (^_^)

Friday, November 19, 2010

MAJLIS RE-UNION GPU : Generasi 3




          Syukur kepada Allah SWT kerana dengan limpahan RahmatNya, pihak GPU dari Generasi 3 berjaya mengadakan Majlis Re-Union bersama dengan ahli-ahli G3 yang lain. Program ini dijayakan dengan bantuan Saudari Aswa Abdullah dan keluarganya. Mereka sekeluarga sudi menerima kehadiran kami dan kami dengan jayanya dapat mengadakan program berkenaan di kediaman mereka, Kampung Jenerih Tujuh, Pasir Mas, Kelantan.

sesi ta'aruf...


jom potong kek...





          Program tersebut telah selamat diadakan pada 17hb November 2010 yang jatuh pada hari Rabu bersamaan dengan 10hb Zulhijjah 1431Hijriah. Apa yang menggembirakan kami semua adalah hari tersebut juga adalah Hari Raya Aidil Adha. Kami bersyukur kepada Allah SWT kerana dapat bertemu kembali dengan sahabat-sahabat seperjuangan kami dinaungi dengan keberkatan Aidil Adha.

Disini juga dinyatakan bersama dengan aturcara majlis :

Pukul 4.00 ptg    : Kata alu-aluan Pengerusi Majlis, Saudara Akram
Pukul 4.15 ptg    : Re-Taaruf (mengenai “update” terkini setiap ahli)
Pukul 4.45 ptg    : Ucapan & Tazkirah Ameer G3, Saudara Zulhelmi
Pukul 5.15 ptg    : Makan & Bacaan doa makan oleh Saudara Faizi
Pukul 5.45 ptg    : Bersurai

          Alhamdulillah, kehadiran para ahli dalam program kali ini amat menggembirakan kerana hampir keseluruhan ahli G3 dapat hadir ke program ini walaupun ada dalam kalangan mereka yang tidak berkesempatan untuk hadir akibat masalah dan sebab yang tertentu. Walau bagaimanapun, objektif program ini untuk merapatkan silaturrahim dan mengukuhkan ukhuwwah fillah antara ahli berhasil. Tambahan lagi, Setiausaha G3, Saudari Aswa juga berjaya mendapatkan maklumat terbaru setiap ahli agar ia mampu menjadi wadah untuk menghubungi setiap ahli sekiranya ada perkembangan terkini mengenai perjuangan GPU di Bumi Malaysia. Insha~Allah.

Sekalung Penghargaan kepada setiap insan yang berjasa dalam Majlis Re-Union GPU : G3;

1.    Muhammad Zulhelmi Shakkeri
2.    Ahmad Farhan Ludin
3.    Mohd Hafiza Mat Hassan
4.    Mohd Faizal Sha’ari.
5.    Raja Mohd Faizal Tan Ibrahim.
6.    Mohd Azwan Abdullah.
7.    Azzuwa Azwan Muhammad.
8.    Rozaidi Salleh
9.    Aunni Mustapha.
10. Mohd Faizi Soh
11. Mohd Akram Muhammad
12. Mohd Zulhusni Syahmi
13. Muhammad Zulfadli Shakkeri.
14. Raja Noor Saili Mustafa.
15. Fatin Nadia Mohd Suhaimi.
16. Nurul Nabila Mohd Izani.
17. Aswa Abdullah.
18. Fatini Daud.
19. Nur Syamimi Ahmad Khairy.
20. Tuan Nor Farahana Tuan Ismail.
21. Noor Azima Abdul Aziz.
22. Nur Azrina Saat.






selamat menjamu selera....
Wallahua’lam.

Wednesday, November 10, 2010

Surah Fushshilat ayat 33 – 38



33.    Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata : ‘Sessungguhnya aku termasuk orang – orang yang berserah diri.’

34.    Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba – tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah – olah telah menjadi teman yang sangat setia.

35.    Sifat – sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang – orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang – orang yang mempunyai keberuntungan yang besar.

36.    Dan jika syaitan mengganggumu dengan suatu gangguan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

37.    Dan sebahagian dari tanda – tanda kekuasaanNya ialah malam, siang, matahari dan bulan. Janganlah bersujud kepada matahari dan janganlah (pula) kepada bulan, tetapi bersujudlah kepada Allah yang menciptakannya, jika kamu hanya kepadaNya sahaja menyembah.

38.    Jika mereka menyombongkan diri, maka mereka (malaikat) yang di sisi Tuhanmu bertasbih kepadaNya di malam dan siang hari, sedang mereka tidak jemu – jemu.

Friday, November 5, 2010

MEMBINA GENERASI PENCINTA ALLAH, RASUL, DAN ISLAM
Kehebatan para pejuang Islam pada suatu ketika dahulu adalah kerana keyaqinan mereka kepada Allah, Rasul, dan kebenaran Islam yang dibawa oleh mereka. Mereka memahami konsep Aqidah yang suci, mereka juga tunduk beribadah dengan menyerah diri kepada Allah semata-mata, dan hati mereka tidak terlepas dari mengingati Allah walau hanya seketika. Jika mereka alpa, mereka akan terus bertaubat dan jiwa mereka tidak akan tenang selagi mana taubat mereka tidak diterima. Itulah cirri-ciri yang perlu ada pada seorang pejuang Allah dan Rasul.
Pada masa kini, kita sebagai golongan yang memahami Islam dan beriman kepada Allah dan Rasul harus menanam sifat-sifat sepertimana sifat-sifat yang ada pada pejuang Islam suatu ketika dahulu. Tanpa keimanan yang utuh dan ketaqwaan yang menyentap jiwa, perjuangan kita sebagai Mujahid Islam di jalan Dakwah tidak akan berseri dan kurang izzahnya. Kita perlu ikhlas kerana Allah semata-mata dan tidak mengharapkan balasan kecuali daripada Allah. Hanya kepada Allah kita berserah diri.
Di  samping itu, kita perlu membenarkan Rasulullah SAW sebagai teladan dan contoh ikutan yang terbaik untuk seluruh umat manusia kerana Rasulullah SAW adalah Penghulu sekalian manusia dan Baginda diutuskan oleh Allah untuk menebarkan lembaran Rahmat Rabbul ‘Alamin. Untuk menjadi Generasi Islam yang hakiki, kita perlu memahami dan menghayati sunnah-sunnah Rasulullah agar cinta kita kepada Baginda akan semakin kuat dan bertambah sinarnya.
       Hidup di Jalan Allah ini akan timbul pelbagai ujian dan cabaran. Oleh itu, sebagai pejuang Allah, kita harus kuat dan berani berkorban jiwa dan raga untuk mencapai Mardhotillah (Keredhoan Allah) dan dekat dengan Allah untuk meraih CintaNya yang sejati lagi abadi. Selamat Berjuang buat semua para pejuang Allah. Pilihlah Jalan Yang Suci dari sebarang kesesatan. Kukuhkan simpulan Aqidahmu agar sentiasa di bawah lembayung Ahlus Sunnah Wal Jamaah..... Wallahu’alam.... ^_^

Coretan dari :
Unit Usrah & Tarbiyyah G3
Generasi Penyelamat Ummah
Malaysia

~ Tetapkan Dirimu, Rapatkan Barisan Jemaahmu Di Jalan Allah ~



KEUTAMAAN JIHAD (Kitab Riyadhus Solihin susunan Imam Nawawi)

Allah SWT berfirman :

“... dan perangilah kaum Musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka memerangi kamu semuanya; dan ketahuilah bahawasanya Allah berserta orang yang bertaqwa.”

(Surah At-Taubah 9 : 36)

“Wahai orang yang beriman, mahukah Aku tunjukkan suatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu daripada azab seksa yang pedih? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di Jalan Allah dengan harta benda dan diri kamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya, nescaya Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga ‘Adn. Itulah keuntungan yang besar. Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang beriman.”

(Surah As-Shoff 61 : 10 – 13)

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata :

“Rasulullah SAW pernah ditanya: ‘Apakah amalan yang paling utama?’ Baginda SAW menjawab: ‘Iman kepada Allah dan RasulNya.’ Baginda SAW ditanya lagi: ‘Kemudian apa lagi?’ Baginda SAW menjawab: ‘Jihad fi Sabilillah.’ Baginda SAW ditanya lagi: ‘Kemudian apa lagi?’ Baginda SAW menjawab: ‘Haji mabrur.’”

(Riwayat Al-Bukhari no.26 dan Muslim no.83)

Muslim meriwayatkan daripada Abu Musa Al-Asy’ari r.a., beliau berkata :

“Sesungguhnya seorang Badwi pernah menghadap Nabi SAW, lalu berkata : ‘Ya Rasulallah, bagaimankah seseorang yang berperang dengan niat supaya mendapat harta rampasan; seseorang yang berperang dengan niat supaya disebut-sebut namanya; dan seseorang yang berperang dengan niat supaya dikatakan sebagai pahlawan?’ Dalam riwayat lain disebutkan : ‘Seseorang yang berperang hanya kerana keberaniannya dan seseorang yang berperang kerana fanatik golongan?’ Dalam riwayat lain disebutkan : ‘Seseorang yang berperang kerana emosi? Siapakah di antara mereka yang masuk kategori fi Sabilillah?’ Rasulullah SAW menjawab : ‘Sesiapa yang berperang dengan niat untuk menegakkan kalimat Allah yang tinggi (Islam), itulah yang dinamakan fi Sabilillah.’”

(Riwayat Muslim no.1904)

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Sahl bin Sa’ad r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda :

“Berperang fi Sabilillah sehari nilainya lebih baik daripada dunia segala yang ada padanya. Tempat sebesar tali di Syurga nilainya lebih baik daripada dunia segala yang ada padanya. Berperang fi Sabilillah di petang hari atau di pagi hari nilainya lebih baik daripada dunia seisinya.”

(Riwayat Al-Bukhari no. 2892 dan Muslim no. 113)

Muslim meriwayatkan daripada Salman r.a., beliau berkata bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda :

“Berperang fi Sabilillah sehari semalam nilainya lebih baik daripada berpuasa ditambah dengan qiamullail selama sebulan. Jika seseorang gugur fi Sabilillah, maka pahala semua amalan soleh yang dikerjakannya akan mengalir terus; rezekinya juga akan mengalir terus; dan dia akan diamankan daripada seksaan kubur.”

(Riwayat Muslim no. 1913)

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. (dengan lafaz Muslim), beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :

“Seseorang yang keluar dari rumahnya yang tiada keperluan lain selain untuk berjihad fi Sabilillah atas dasar iman kepada Allah dan membenarkan RasulNya, maka Allah menjamin kepadanya bahawa Dia akan memasukkannya ke Syurga (jika gugur) atau memulangkan ke rumahnya dengan beroleh pahala dan harta rampasan. Demi Tuhan yang diri Muhammad berada di TanganNya, tidak ada satu luka pun yang terjadi saat Jihad fi Sabilillah, melainkan kelak pada Hari Kiamat luka tersebut akan nampak apa adanya sebagaimana pada hari terjadinya; warnanya merah seperti darah; hanya saja aromanya adalah aroma minyak wangi. Demi Tuhan yang diri Muhammad berada di TanganNya, sekiranya aku tidak khuatir akan memberatkan kaum Muslimin, nescaya aku tidak akan terlepas untuk ikut serta berperang bersama pasukan kaum Muslimin buat selamanya. Akan tetapi, aku tidak ada pembiayaan untuk membawa serta mereka semuanya dan mereka pun tidak semuanya ada kelapangan untuk turut serta berperang. Mereka memang berasa berat untuk tidak ikut berperang bersamaku. Demi Tuhan yang diri Muhammad berada di TanganNya, sesungguhnya aku gembira jika boleh berperang fi Sabilillah, lalu gugur, lalu (dihidupkan kembali lalu) berperang lagi, lalu gugur lagi, lalu (dihidupkan kembali lalu) berperang lagi, lalu gugur lagi.”

(Riwayat Al-Bukhari no. 36 dan Muslim no. 103)

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata :

“Rasulullah SAW pernah ditanya : ‘Apakah amalan yang boleh menyamai nilai Jihad fi Sabilillah?’ Baginda menjawab : ‘Kamu tidak akan mampu menemukannya.’ Pertanyaan itu pun diulang kepada Baginda sebanyak 2 atau 3 kali. Semuanya Baginda jawab : ‘Kamu tidak akan mampu menemukannya.’ Seterusnya, Baginda bersabda : ‘Perumpamaan seseorang yang berjihad fi Sabilillah adalah seperti seseorang yang berpuasa di siang hari ditambah dengan mengerjakan qiamullail di malam harinya disertai membaca dan mentadabburi ayat-ayat Allah tanpa henti sehingga orang yang berjihad fi Sabilillah itu kembali ke rumahnya.’”

(Riwayat Al-Bukhari n0. 2785 dan Muslim no. 1878)

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda :

“Sesungguhnya di Syurga itu ada 100 darjat yang Allah sediakan untuk para Mujahid fi Sabilillah, yang di antara satu darjat ke satu darjat yang lainnya bagaikan antara langit dan bumi.”

(Riwayat Al-Bukhari no. 2637)

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abdurrahman bin Jabr r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :

“Tidaklah telapak kaki seseorang yang melangkah untuk fi Sabilillah, melainkan kelak api neraka tidak akan menyentuhnya.”

(Riwayat Al-Bukhari no. 2811)

Muslim meriwayatkan daripada Abu Bakar bin Abu Musa Al-Asy’ari r.a., beliau berkata :

“Aku pernah mendengar bapaku berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda di saat sudah berhadapan dengan musuh : ‘Sesungguhnya pintu – pintu Syurga itu berada di bawah bayangan pedang.’”

(Riwayat Muslim no.146)

Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :

“Sesiapa yang mati, sementara dia belum pernah berperang (fi Sabilillah) atau dalam dirinya belum pernah terlintas niat untuk berperang (fi Sabilillah), maka dia akan mati berada dalam salah satu cabang nifaq.”

(Riwayat Muslim no. 1910)

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Zaid bin Khalid Al-Juhani r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

“Sesiapa memberi bekalan kepada orang yang berperang fi Sabilillah, bererti dia juga telah berperang. Sesiapa yang melayaninya dengan baik keluarga orang yang berperang fi Sabilillah, bererti dia juga telah berperang.”

(Riwayat Al-Bukhari no. 2843 dan Muslim no. 135)









Thursday, November 4, 2010


LALAI DAN BERFIKIR (Ingat)

Ketahuilah olehmu wahai penuntut ilmu, bahawa lalai itu boleh menghalang dirimu daripada melakukan kebajikan dan berfikir pula mendorong kamu untuk melakukan kebajikan. Ingatlah bahawa tiada seorang pun yang tidak perlu melakukan amal kebajikan. Ini adalah kerana orang yang tidak pernah melakukan kebajikan atau sedikit amalannya telah digambarkan dalam firman Allah SWT yang bermaksud :

“Pada hari tu manusia keluar (dari dalam kuburnya) bercerai-berai supaya mereka melihat amal perbuatannya. Maka barangsiapa mengerjakan kebaikan, meskipun seberat zarah, akan dilihatnya (balasan) kebaikan itu. Barangsiapa mengerjakan kejahatan, meskipun seberat zarah, akan dilihatnya (balasan) kejahatan itu.

                                                                                       (Surah Al-Zalzalah : 6-8)

Syair Arab ada menyebut :

“Apabila engkau melakukan kebajikan maka engkaulah yang dikasihi, kata-katamu didengari dan perbuatanmu diterima.”

“Akan tetapi apabila engkau melakukan kejahatan, maka dirimu tidak lagi disukai, kata-katamu tidak diendahkan dan perbuatanmu dianggap melampau.”

            Sesungguhnya tanpa amal kebajikan apa yang berada dekat denganmu berubah menjadi semakin jauh dan harapan untuk memperolehi Syurga Allah akan musnah, sebaliknya kamu akan dihumbankan ke dalam neraka.

            Justeru, sedarkanlah dirimu untuk mengetahui adab-adab atau cara-cara untuk mengerjakan kebajikan yang mana ia terhimpun dalam beberapa perkara. Aku melihat bahawa kebajikan itu termasuklah amalan zikir dan solat, hidup dalam keadaan papa (zuhud) dan berlapar (puasa), solat pada waktu malam serta menyucikan diri daripada segala kotoran zahir dan batin.

            Sekiranya orang-orang yang berfikir mengetahui tentang kelebihan amal kebajikan, zikir dan solat, nescaya mereka tidak mengendahkan perkara-perkara lain selain amalan tersebut. Oleh itu, ketahuilah bahawa lalai itu adalah kafir pada pandangan orang yang taat dan ia sesat serta boleh menjurus kepada kafir pada pandangan orang yang bertaqwa kepada Allah SWT. Oleh demikianlah, lalai itu dianggap kafir bagi orang-orang yang sentiasa taatkan Allah SWT.

            Maka jauhilah dan takutlah akibat yang timbul daripada lalai dan berfikirlah kerana orang-orang yang berfikir itu tidak akan hamper kepada kelalaian. Ingatlah bahawa lalai itu sebenarnya seperti keadaan mabuk yang lebih keji daripada mabuk arak, kerana itulah dalam memenuhi tuntutan perintah Allah SWT, kita dilarang melakukannya dalam keadaan lalai. Ini telah dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri solat (mengerjakannya) sedangkan kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui apa yang kamu katakan.”

                                                                                      (Surah An-Nisa’ : 43)

            Oleh itu, barangsiapa yang mabuk adalah dilarang untuk menyembah atau beribadat kepada Allah sebagaimana orang-orang yang lalai itu sama sekali tidak diterima amal ibadatnya oleh Allah. Justeru, janganlah kamu menyangka bahawa mengerjakan ibadat solat itu hanya dengan ruku’ dan sujud, tetapi ia memerlukan keadaan hati yang hadir (ingat) kepada Allah SWT. Rasulullah SAW telah bersabda yang ertinya :

“Tiada (tidak sah) solat itu melainkan dengan hadirnnya hati.”

            Dengan itu, ketahuilah wahai orang yang soleh, bahawa ada golongan yang solat tetapi tidak mendapat apa-apa melainkan penat lelah sahaja daripada solatnya itu. Ini adalah kerana solat itu tidak harus dikerjakan melainkan dengan ketetapan hati kepada Allah SWT dan ketetapan hati itu dapat dicapai hanya dengan wujudnya rasa takut atau taqwa kepadaNya. Manakala rasa takut itu muncul dengan berfikir dan berfikir itu pula berpunca daripada amalan – amalan seperti mengurangkan makan, mengurangkan perkataan (yang tidak baik), mengurangkan tidur berserta dengan qona’ah.

            Oleh yang demikian, fahamilah dan ambillah pengajaran daripada kata-kataku ini. Ketahuilah wahai orang yang soleh bahawa lalai itu menjadi rumah syaitan dan barangsiapa tinggal di dalamnya, dia tidak boleh berjalan keluar kepada Allah dan tiada lagi ubat baginya melainkan kematian.

            Ketahuilah olehmu wahai orang yang soleh bahawa bagi setiap sesuatu itu ada penyakitnya dan setiap penyakit itu ada ubatnya. Penyakit hati adalah lalai dan ubat baginya adalah dengan berfikir kerana berfikir itu dapat menerangkan hati. Dengan berfikir juga dapat menunjukkan perbezaan di antara kebajikan dan kejahatan serta kebaikan dan kemudhoratannya. Setiap hati yang tidak pernah berfikir di dalamnnya menjadi rumah syaitan.

            Ketahuilah wahai orang yang soleh, bahawa berfikir mengenai akhirat itu dapat menerangkan hati dan mencapai ma’rifat, sedangkan berfikir tentang dunia akan mematikan hati dan mengakibatkan sesat. Jadi, barangsiapa yang banyak lalainya, menjadi semakin jauhlah sesatnya dan barangsiapa yang jauh sesatnya akan matilah hatinya. Orang yang mempunyai hati yang mati itu akan menjadi kenderaan syaitan, oleh itu takutlah akan akibatnya.

            Sesetengah ‘ulama menyatakan bahawa berfikir itu menjaga amalan dan memelihara diri daripada perkara yang keji. Menurut sesetengah yang lain pula, berfikir itu adalah cermin yang dapat menunjukkan kita kepada haqiqat dunia dan melupakannya, ia juga bakal membawa kita kepada akhirat yang kekal abadi.

Diriwayatkan daripada Salman bahawa Nabi SAW telah bersabda mafhumnya :
“Berfikir tentang akhirat itu mendatangkan hikmah dan menghidupkan hati, sedangkan berfikir tentang perihal dunia itu menjadi dinding bagi akhirat yang seksanya adalah amat berat.”

Kata ‘ulama lagi bahawa antara adab-adab itu ialah berfikir dengan hati nescaya ia dapat melihat dengan ruhnya. ‘Ulama telah berkata bahawa berfikir itu adalah lebih besar daripada segala ibadah kerana ibadah itu akan terputus dari orang yang mati apabila berada di dalam syurga. Manakala apa yang menjadi buah fikiran seseorang tidak akan terputus daripadanya malah ia berkekalan walaupun setelah ia mati. Ini boleh diibaratkan seperti tauhid dan ma’rifat. Hatim telah mengatakan bahawa perkara ini dipetik daripada satu perumpamaan yang membandingkan barangsiapa yang tidak mempunyai rasa takut seumpama dia tidak memiliki iman. Ini berdasarkan kepada sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Iman itu di antara takut dan harapan dan didahulukan takut daripada harapan yang mana ia adalah cabang. Maka barangsiapa tidak mempunyai pohon (asalnya), tiada baginya cabang.”

            Oleh itu, ketahuilah bahawa takut itu mendatangkan taubat dan taubat pula mendorong kepada amal. Amalan yang dilakukan memberikan harapan, seterusnya harapan itu akan memperolehi rahmat. Oleh demikian, barangsiapa yang tidak mempunyai rasa takut kepada Allah, tiadalah baginya rahmat daripadaNya.

            Ketahuilah olehmu bahawa menuntut Syurga Allah tanpa rasa takut kepadaNya adalah dosa besar dan menuntut takut tanpa berfikir adalah satu kelalaian besar. Maka, ketahuilah olehmu wahai orang yang soleh bahawa faqir itu akan menghilangkan sikap lalai, menambahkan rasa takut, menghilangkan kejahatan dan menambah kebajikan iaitu mendapat rahmat atau memperolehi pahala. Dengan itu, fahamilah sebaik-baiknya bahawa fikir itu menjadi wajib ke atas sekalian orang yang beriman kerana dengan berfikir dan mengingati Allah akan mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT.

            Antara kesan daripada berfikir itu adalah mendapat 9 perkara :

1.    Takut kepada Allah.
2.    Taubat.
3.    Solat pada waktu malam (Qiamullail).
4.    Beribadah.
5.    Qona’ah.
6.    Pemurah.
7.    Beradab (berakhlaq).
8.    Merendah diri.
9.    Menyucikan dirinya daripada segala perkara yang keji.

Tidak dinafikan seseorang yang mempunyai tiap satu daripada 9 perkara tersebut akan memperolehi faedah yang banyak daripada segi agama dan kehidupan dunianya. Sesungguhnya orang yang berfikir itu adalah teman bagi para wali, kekasih bagi para nabi, dan saudara bagi ‘ulama. Ini adalah kerana fikir itu menjadi bekalan makanan kepada para wali, makanan kepada sekalian nabi dan minuman golongan ‘ulama. Dengan itu, barangsiapa yang banyak berfikir akan bertambahlah takutnya (taqwa), barangsiapa yang yang bertambah takutnya pula hatinya akan bertambah terang. Orang yang mempunyai hati yang terang, akan dapat melihat perbezaan di antara kebajikan dan kejahatan, seterusnya dia akan tidak memilih melainkan perkara kebaikan.

      Ketahuilah wahai orang yang soleh, bahawa lalai itu adalah pedang syaitan. Barangsiapa yang jatuh pada pedang syaitan itu bakal mendapat seksa yang perit. Justeru, takutlah kamu kepadanya kerana daripada sikap lalai akan menimbulkan 9 perkara :

1.    Kasihkan kemuliaan (kedudukan).
2.    Kasihkan harta.
3.    Cintakan kekayaan.
4.    Cintakan urusan dunia.
5.    Sukakan pakaian (kemewahan).
6.    Cintakan perempuan.
7.    Suka tidur.
8.    Banyak makan.
9.    Banyak minum.

Setiap sesuatu daripada kesemua perkara tersebut akan mengakibatkan banyak kebinasaan sama ada pada agama ataupun dunianya. Sesungguhnya orang yang mempunyai sikap lalai itu adalah rakan kepada syaitan dan golongan yang sesat serta saudara bagi golongan fasiq. Ini adalah kerana lalai itu merupakan bekal syaitan dan minuman golongan yang sesat.

            Barangsiapa yang banyak lalainya, pasti ketamakannya bertambah yang akan menyesatkannya lagi. Barangsiapa yang semakin sesat, lambat laun hatinya akan mati, seterusnya dia tidak nampak lagi melainkan kejahatan. Oleh itu, takutlah olehmu daripada sikap lalai itu.

            Ketahuilah olehmu juga bahawa kejahatan yang dibawa oleh lalai itu menjadi bala kepada orang-orang yang benar – benar mengetahuinya. Ini adalah kerana ia akan menghalang daripada perkara yang benar (haq) dan lebih menjurus kepada perkara yang sia-sia. Manakala berfikir menjadi bala bagi orang-orang yang jahil kerana ia akan menegah mereka melakukan perkara yang sia – sia.

·         Petikan daripada Kitab Unsul Muttaqin ; Mendampingi Orang Bertaqwa karangan Haji Abdullah bin Abdul Mubin Al-Syafie.