~SEIRINGAN JIHAD DAN DAKWAH... TEGAR MENGHARUNGI TITIAN FISABILILLAH~



Blog ini dibawah kendalian :
UNIT INFORMASI G3

Monday, November 22, 2010

Menjadikan Pekerjaan Sebagai Ibadah

oleh :  Dato’ Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria

Untuk mendapat keberkatan Allah SWT, setiap usaha yang dilakukan hendaklah bertujuan kerana Allah dan akhirat. Apabila mengajar, biarlah ilmu yang diajar itu boleh dijadikan bekalan ke akhirat. Apabila bekerja, biarlah masa bekerja itu mendapat faedah di akhirat. Begitu juga dengan sembahyang, berniaga, berkahwin dan sebagainya. Asalkan di situ tersirat keberkatannya.

Dalam mengharungi hidup, kita perlu berpegang dan menjadikan Islam sebagai panduan hidup kita. Bukan sahaja mencari kehidupan dan kemewahan di dunia sahaja tanpa mempedulikan hal ke arah keakhiratan. Jika diketepikan urusan akhirat khususnya dalam soal pengumpulan harta, maka perbuatan itu samalah seperti perbuatan orang kafir. Orang kafir tidak mementingkan soal akhirat. Mereka hanya mementingkan wang dan harta yang banyak, hidup senang-lenang dan sebagainya tanpa dipagari dengan soal keberkatan dan hokum syarak. Malah mereka tidak percaya bahawa sesuatu itu datangnya dari Allah SWT. Bagi mereka, siapa yang berusaha dia pasti akan berjaya tanpa batasan halal dan haram.

Tetapi sering kali kita terbaca mengenai jutawan yang membunuh diri. Apakah punca di sebalik mereka melakukan perkara sedemikian. Sedangkan mereka hidup dikelilingi kemewahan dan kekayaan. Apabila diteliti secara terperinci, puncanya ialah kerana ramai dalam kalangan jutawan yang tidak menghiraukan hukum yang ditetapkan oleh Allah SWT. Sebahagian dari mereka enggan berzakat, bersedekah dan mereka hanya mementingkan soal keduniaan. Perlakuan seperti ini menjadikan hidup mereka tiada keberkatan, hati mereka sentiasa resah dan gelisah walaupun dilimpahi dengan kemewahan dan permata-permata yang bertaburan. Maka hiduplah mereka dengan keangkuhan dan ketamakan tanpa menyedari Allah SWT sentiasa memerhati gerak laku hamba-hambaNya.

·        Dipetik dari buku (Indahnya ISLAM Mengatur Kita, karangan Haji Harussani Haji Zakaria)

No comments:

Post a Comment