~SEIRINGAN JIHAD DAN DAKWAH... TEGAR MENGHARUNGI TITIAN FISABILILLAH~



Blog ini dibawah kendalian :
UNIT INFORMASI G3

Wednesday, January 12, 2011

MEMACU TRANSFORMASI DAKWAH ISLAMIAH



            Para pendakwah masa kini perlu lebih peka dengan keadaan semasa agar pemahaman mereka tentang status umat Islam hari ini tidak ketinggalan. Hari ini ramai pemuda pemudi sibuk berpolitik. Bukanlah ia menjadi satu kesalahan, namun harus kita ingat bahawa sebagai seorang pendakwah yang adil dan bijaksana, kita perlulah bersederhanalah dalam segala hal. Janganlah kerana sibuk berpolitik, kita mengabaikan tugas kita untuk menebarkan Risalah Dakwah Islamiah ke serata muka bumi Allah ini.
            Jika kita inginkan suasana dakwah semakin hari semakin berkembang, kita perlu sentiasa memantau keadaan diri kita dan orang yang akan kita sampaikan risalah dakwah kepadanya. Apa sahaja kebaikan yang telah kita sampaikan kepada khalayak ramai, nilai istiqomah perlu diterapkan agar kita mampu menjauhkan diri dari sikap “hangat-hangat tahi ayam” ataupun sikap “acuh tak acuh”. Dalam erti kata lain, “cakap tak serupa bikin”.
            Jika dahulu kita sering didedahkan tentang ideologi Rukun Usrah, Rukun Bai’ah, dan Prinsip Perjuangan Islam, sepatutnya pada hari ini, kita sudah mampu menerbitkan pelaksanaan dakwah yang cukup berkesan. Namun, ada segelintir yang masih gagal. Apakah puncanya? Jika kita ingin membicarakan tentang punca-puncanya, sudah pasti satu bab lain akan dibuka. Apa yang pasti, para pendakwah yang wujud pada hari ini dengan izin Allah, banyakkan muhasabah dan memohon keampunan Allah. Mungkin perjuangan kita tidak berjaya kerana ada penyakit mazmumah seperti riya’, ‘ujub, sombong, dan sebagainya. Ini bisa mengundang kemurkaan Allah dan kita sendiri akan tercabut dari perlindungan Allah. Semoga Allah menjauhkan kita dari sebarang kezaliman dan penganiayaan.
            Selamilah konsep dakwah dengan sebetulnya kerana jika pemahaman dakwah kita terpesong, maka matlamat dakwah yang ingin dikecapi juga akan terpesong. Tetapi apa yang merungsingkan lagi ialah, para pendakwah itu akan jauh daripada Allah dan perjuangannya akan menjadi sia-sia. Semoga Allah menjauhkan kita dari sebarang kezaliman dan penganiayaan. Oleh itu, sedarlah wahai para pendakwah Islam, ayuh bangkit dan carilah ilmu asas Islam dan ilmu jaga Islam yang benar lagi shohih. Setiap dari kita inginkan kegemilangan Islam kan bisa dikecapi kembali. Oleh itu, jangan leka, teruskan dengan misi dakwah. Usah gentar dengan musuh-musuh Allah, kerana Allah bersama kita.
            Wujudkan transformasi diri sebagai seorang para pendakwah dengan keikhlasan dan kesungguhan yang jitu agar negara Malaysia kan menjadi sebuah negara Islam yang sebenar dan tertegaknya hukum Allah dengan tertutupnya kebatilan dan bersinarnya kebenaran. Wallahu’alam.

Oleh ;
Mohd Akram bin Muhammad,
Pelajar Tahun Satu,
Jurusan Sains Politik,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

No comments:

Post a Comment